Dialah Sumayyah binti Khayyat, hamba sahaya dari Abu Hudzaifah bin Mughiroh.
Beliau dinikahi oleh Yasir, seorang pendatang yang kemudian menetap di Makkah sehingga tidak ada kabilah yang dapat membela, menolak dan mencegah kezaliman atas dirinya, kerana dia hidup sebatang kara.
Kedudukannya menjadi sukar dibawah naungan aturan yang berlaku pada masa Jahiliyah.
Begitulah Yasir mendapatkan dirinya menyerahkan perlindungannya kepada Bani Makhzum.
Beliau hidup dalam kekuasaan Abu Huzaifah. Dia akhirnya dinikahkan dengan budak wanita bernama Sumayyah, tokoh yang kita bicarakan ini.
Beliau hidup bersamanya dalam suasana yang tenteram.
Tidak berselang lama dari perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak, iaitu 'Ammar dan Ubaidullah
Tatkala 'Ammar hampir menjelang dewasa dan sempurna sebagai seorang lelaki beliau mendengar agama baru yang didakwahkan oleh Muhammad bin Abdullah shallallâhu' alaihi wa sallam kepada beliau.
Maka berfikirlah 'Ammar bin Yasir sebagaimana yang difikirkan oleh penduduk Mekkah, sehingga kesungguhan beliau di dalam berfikir dan lurusnya fitrah beliau, mengiringnya untuk memeluk Islam.
'Ammar kembali ke rumah dan menemui kedua orang tuanya dalam keadaan merasakan lazatnya iman yang telah tertanam dalam jiwanya.
Beliau menceritakan kejadian yang beliau alami hingga pertemuannya dengan Rasulullah shallallâhu 'alaihi wa sallam, kemudian menawarkan kepada keduanya untuk mengikuti dakwah yang baru tersebut.
Ternyata Yasir dan Sumayyah menyahut dakwah yang penuh berkat tersebut dan bahkan mengumumkan keislamannya sehingga Sumayyah menjadi orang ketujuh yang masuk Islam.
Dari sinilah bermula sejarah yang agung bagi Sumayyah yang bertepatan dengan permulaan dakwah Islam dan sejak fajar terbit untuk pertama kalinya.
Bani Makhzum mengetahui akan hal itu, kerana 'Ammar dan keluarganya tidak menidakkan bahawa mereka telah masuk Islam bahkan mengumumkan keislamannya dengan kuat sehingga orang-orang kafir cuba menentang dan memusuhi mereka.
Bani Makhzum segera menangkap keluarga Yasir dan menyeksa mereka dengan bermacam-macam seksaan agar mereka keluar dari agama mereka.
Mereka memaksa dengan cara mengheret mereka ke padang pasir tatkala cuaca sangat panas terik.
Mereka membuang Sumayyah ke sebuah tempat dan menaburinya dengan pasir yang sangat panas, kemudian meletakkan diatas dadanya sebongkah batu yang berat, akan tetapi tiada terdengar rintihan ataupun ratapan melainkan ucapan Ahad .... Ahad ....
Beliau mengulang-ulang kata tersebut sebagaimana yang diucapkan juga oleh Yasir, 'Ammar dan Bilal.
Suatu ketika Rasulullah shallallâhu 'alaihi wa sallam menyaksikan keluarga muslim tersebut yang sedang diseksa secara kejam, maka beliau menengadahkan tangannya ke langit dan berseru:
"Bersabarlah keluarga Yasir kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah syurga"
Sumayyah mendengar seruan Rasulullah shallallâhu 'alaihi wa sallam, maka beliau bertambah tegar dan optimis dengan kewibawaan imannya.
Dia mengulang-ulang dengan berani:
"Aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah dan aku bersaksi bahawa janjimu adalah benar".
Sehingga bagi beliau kematian adalah sesuatu yang remeh dalam rangka memperjuangkan aqidahnya.
Di hatinya telah dipenuhi kebesaran Allah 'Azza wa Jalla, maka dia menganggap kecil setiap siksaan yang dilakukan oleh para Thaghut yang zalim, yang mana mereka tidak berkuasa menghakis keimanan dan keyakinannya sekalipun hanya satu langkah semut.
Sementara Yasir telah mengambil keputusan sebagaimana yang dia lihat dan dia dengar dari isterinya.
Sumayyah pun telah menetapkan dalam dirinya untuk bersama-sama dengan suaminya meraih kejayaan yang telah dijanjikan oleh Rasulullah shallallâhu 'alaihi wa sallam.
Tatkala para Thaghut telah berputus asa mendengar ucapan yang senantiasa diulang-ulang oleh Sumayyah maka musuh Allah, Abu jahal melampiaskan keberangannya kepada Sumayyah dengan menusukkannya sangkur yang berada dalam genggamannya ke tubuhnya. Maka terbanglah nyawa beliau dari raganya yang beriman dan bersih.
Dan beliau adalah wanita pertama yang syahid dalam Islam.
Beliau gugur setelah memberikan contoh yang baik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan, yang mana beliau telah mengerahkan segala apa yang beliau miliki, dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya.
Beliau telah mengorbankan jiwanya yang mahal demi meraih keredhaan Rabb-nya.
"Dan mendermakan jiwa adalah puncak tertinggi dari kedermawanan".
Sumber: buku Mengenal Shahabiah Nabi shallallâhu 'alaihi wa sallam dengan sedikit perubahan, penerbit Pustaka AT-TIBYAN.