Sunday, November 6, 2011

Kisah Siti Hajar



Pada saat Nabi Ibrahim membawa Hajar dan puteranya ke Makkah, Hajar dalam keadaan menyusukan Ismail.


Hingga Ibrahim meletakkan mereka di sebuah rumah, di bawah pohon besar di berhampiran dimana mata air zam-zam nantinya muncul.


Pada saat itu, di Makkah tidak ada seorang pun, dan tidak pula ada air. Ibrahim meletakkan mereka di sana dan di sisi mereka geribah yang di dalamnya terdapat kurma dan bekas yang di dalamnya terdapat air.


Setelah itu, Ibrahim berangkat dan di ikuti oleh Hajar seraya berkata, "Wahai Ibrahim, ke mana engkau hendak pergi? Apakah engkau meninggalkan kami sedang di lembah ini tidak terdapat seorang manusia dan tidak pula makanan apa-apa?".


Yang demikian di ucapkan berkali-kali, tetapi Ibrahim tidak menoleh sama sekali, hingga akhirnya Hajar berkata, "Adakah Allah menyuruh melakukan ini?".


 "Ya", jawab Ibrahim.


 "Kalau begitu, kami tidak di sia-siakan".


Setelah pemergian Nabi Ibrahim, Hajar tetap menyusui Ismail dan minum dari air yang sedia sehingga ketika air yang ada dalam bejana itu sudah habis, maka ia dan juga puteranya merasa haus.


Lalu Hajar melihat puteranya dalam keadaan lemas.


Kemudian ia pergi dan tidak sanggup melihat keadaan puteranya tersebut.


Maka ia mendapatkan Safa, merupakan bukit yang paling dekat dengannya. Lalu ia berdiri di atas bukti itu dan menghadap lembah sambil melihat-lihat, adakah orang di sana, tetapi ia tidak mendapatkan seorang pun.


Setelah itu, ia turun kembali dari Safa sehingga sampai ke tengah-tengah lembah.


 Hajar mengangkat bahagian bawah bajunya dan kemudian berusaha keras sehingga ia berjaya melewati lembah.


Lalu ia mendatangi Marwah dan berdiri di sana sambil melihat-lihat adakah orang di sana, namun ia tidak mendapat seorang pun di sana. Ia lakukan hal itu sampai tujuh kali.
Setelah mendekati Marwah, ia mendengar suara yang menyeru "Diam".


 Lalu Hajar mencari suara tersebut, hingga akhirnya ia berkata; "Aku telah mendengarmu, apakah engkau dapat memberikan bantuan?".


Ternyata sumber suara tersebut berasal dari malaikat. Lalu malaikat itu mengais-ngais tanah hingga akhirnya muncul air.


Siti Hajar pun mendatangi air tersebut dan mengisi bejananya dengan air dan kemudian mendapatkan anaknya.


Lalu malaikat berkata kepadanya, "Janganlah engkau takut di sia-siakan, kerana di sini akan dibina sebuah rumah oleh kanak-kanak ini bersama-sama dengan bapanya, dan sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan keluarga-Nya".


Ringkasnya, dengan adanya mata air zam-zam tersebut, dalam masa yang singkat, tempat tersebut menjadi satu perkampungan yang kemudian terus membesar, sampai Makkah saat ini, Makkah yang didatangi oleh berjuta-juta manusia dari pelbagai penjuru dunia.


Dalam kejadian ini Rasulullah bersabda;


"Semoga Allah memberikan rahmat kepada ibunya Ismail, seandainya ia tidak menceduk air zam-zam, nescaya air zam-zam itu hanya menjadi sumber air yang terhad".


Keimanan dan ketakwaan Siti Hajar dalam kisah ini diabadikan oleh Allah menjadi salah satu rukun yang wajib dilakukan dalam ibadah haji, ia adalah sa'i.


Banyak sekali hikmah yang terkandung dalam rukun sa'i dalam ibadah haji; salah satunya adalah, dalam menikmati sebuah proses dalam kehidupan diperlukan kesabaran yang bukan bererti diam.


Dengan berlarinya Hajar di antara safa dan marwa, adalah bentuk ketakwaan yang ditunjukkan melalui satu usaha (ikhtiar) setakat yang boleh dilakukan oleh dirinya pada sat itu.


Boleh jadi, jika kita yang dihadapkan dalam keadaan seperti itu, dalam fikiran kita, tentunya, akan sia-sia sahaja ia berlari ke sana ke mari, kerana pada saat itu, ia di tinggalkan di satu tempat di mana tidak ada seorang pun di sana.


Ertinya, kemungkinan untuk mendapatkan pertolongan, sangatlah kecil sekali apatah lagi untuk terus hidup.


Walaupun demikian, Hajar, tetap berlari kian kemari untuk mencari pertolongan.


Kejadian ini juga memberikan kesimpulan kepada kita, bahawa, Hajar sendiri tidak pernah tahu bila dan di mana pertolongan itu akan datang.


Seandainya dia tahu, pastilah ia tidak akan berlari-lari, mungkin ia akan diam sahaja menunggu pertolongan itu.


Tetapi dalam kisah ini, ia tidak tahu bila-bila pertolongan itu akan datang, tetapi ia meyakini betul jika ia terus berusaha maka Allah tidak akan mensia-siakan hasil usaha dirinya.


Hal ini sebagaimana ayat;  
"Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya ... ".


Bentuk ketakwaan yang boleh dilakukan oleh Siti Hajar, adalah dengan berlari-lari, tidak dengan berdoa sahaja tanpa usaha lalu diam atau menangis saja meratapi nasibnya.


Dan ketika ketakwaan sudah dilakukan, maka datanglah pertolongan Allah, dengan mengutus malaikatnya sebagaimana di kisahkan dalam hadis di atas.


Jalan keluar, dan rezeki yang tidak disangka-sangka adalah dua perkara yang berbeza.


 Ada orang yang boleh mendapatkan jalan keluar dari satu masalah, tetapi tidak disertai dengan rezeki, atau ada juga orang yang diberi rezeki tetapi tidak diberi juga jalan keluar daripada masalah yang di hadapi.


Tetapi dalam ayat ini, kedua-duanya didapati sekaligus, jalan keluar dari permasalahan, dan rezeki yang tidak disangka-sangka.


Demikianlah pertolongan Allah bagi orang-orang yang bertaqwa, dan manusia pilihan yang dijadikannya sebagai contoh bagi seluruh umat manusia Allah pilih daripada kaum wanita ...


Wallahu'alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...